Image by joram nathanael |
Semalam ada sedikit moment 'membebel' kalau bahasa positifnya aku gemar kata 'menasihati' haha. Aishah ada dirumah aku sebab cuti sekolah dah bermula kan, dan jumaat lepas aku pergi jemput dia dari sekolah asramanya. Jadi ada sesuatu perkara yang terjadi dan kemudian aku jadi geram sebenarnya, lebih kepada kecewa (tapi masih rasa sayu bila lihat muka Aishah, see tak mudah juga mahu jadi kakak yang garang begini haha)
Kisah kenapa aku 'membebel' ahem ahem 'menasihati' itu kita simpan dulu, ada masa kita sambung cerita yang itu. Jadi selepas moment itu berakhir, selepas salam minta maaf, Aishah faham dan janji insyaAllah takkkan buat lagi dan kakak minta maaf sebab 'membebel' dan terangkan kenapa kakak habiskan masa 'membebel' panjang begini.
Aku ke bilik air untuk mandi, antara rutin sebelum tidor aku, harus mandi malam, tak bagus rutin begini kata mak, tapi itulah. Dah biasa mungkin. Kemudian, wudhu untuk isya sekali, dan keluar nampak si Aishah masih ada wajah sayu (kakak masih rasa bersalah huhuhu), jadi nak redeem balik sesi 'membebel' tadi ajak la si Aishah solat jemaah sekali.
Dulu waktu si Aishah tadika, dan kakak di form six (13 tahun beza umur) selalu solat jemaah dengan Aishah, kemudian bila dah habis form six kakak kerja sekejap, sambung belajar, pindah tinggal di KL sekejap, tinggal Penang, memang jarang ada dirumah, selalu kalau balik pun solat sendiri-sendiri. Tahu-tahu si Aishah dah besar, dah 13 tahun pun.
Selalu setiap kali solat dengan si Aishah waktu dia masih di tadika dulu, selalu pesan,
"Adik, doa tau apa adik nak, adik nak mainan ka apa ka adik doa pada Allah tau, Allah selalu dengar doa kita"
Kemudian Aishah akan terkumat-kamit baca doa dia sendiri-sendiri, kakak pula baca doa kakak. Tak pernah terfikir nak tanya apa yang dia doakan waktu tu, entah, sebab aku rasa doa tu macam privasi masa kita dengan Allah, masa menangis cerita semuanya, masa ucap syukur gembira, jadi selalunya aku biar Aishah berdoa sendiri, kami salam peluk cium dan hidup macam biasa. Waktu tu aku cuma nak bagitahu dia, apapun yang kita nak, kena doa minta dekat Allah, apa sekalipun. Nanti Allah akan kirimkan doa kita melalui manusia, peristiwa atau apapun. Allah tahu.
Semalam lepas solat, jadi teringat nak tanya Aishah,
"Adik, adik ingat tak waktu tadika dulu lepas solat, kakak selalu pesan suruh adik doa apa saja yang adik mahu dengan Allah"
"Ingat"
Kemudian Aishah sambung,
"Dulu waktu tadika, adik teringin nak pakai baju gown kembang, lepastu adik doa pada Allah, ada satu hari tu mak pergi Selama (pekan yang terdekat dengan rumah aku) dan mak beli adik baju gown kembang, padahal adik tak pernah bagitahu mak pun."
MasyaAllah (hati kakak dah berambu dengan air mata dah ni). Kemudian Aishah sambung,
"Ada sekali tu, dekat tadika semua orang pegang duit sendiri, bila kawan adik sampai tadika, cikgu akan suruh depa masukkan dalam tabung sendiri. Mak takut duit adik hilang, jadi bila mak hantar, mak yang akan pegang duit dan bagi dekat Cikgu Yong (cikgu tadika). Adik teringin sangat nak pegang duit dan masukkan dalam tabung sendiri (mungkin perasaan bila letak duit dalam tabung itu kot). Kemudian adik doa pada Allah. Satu hari entah kenapa, Yang (mak saudara kami) bagi adik sepuluh ringgit, adik simpan dan esok adik bawa ke tadika dan adik dapat masukkan sendiri duit dalam tabung. Adik tak bagitahu mak, (di bahagian ini Aishah ketawa) tapi lepastu adik bagitahu mak (yang dia simpan rm10 duit pemberian Yang di tadika)"
Indah kan doa. Sekecil mana, sebiasa mana pun suatu perkara pada mata kita, doalah pada Allah. Tawakal, serah segalanya pada Allah, Allah akan tunjukkan jalan terbaik, pada masa yang paling baik :)